Saturday, July 16, 2011

~Indah~

Kini genap 4 tahun, diri ini berada di sebuah institusi pengajian tinggi. Bila difkirkan kembali begitu cepat masa berlalu. Betapa berharganya setiap detik waktu yang telah berlalu itu. Namun masa yang telah pergi tidak mungkin akan dapat diputar lagi. Aku tetap bersyukur padaMu tuhan, begitu banyak nikmat yang telah Engkau kurniakan kepada diriku ini sehingga detik waktu ini.
Begitu banyak cerita manis dan pahit telah dicoretkan selama 4 tahun ini. Begitu banyak perubahan yang telah berlaku. Ini semua dengan izin-Nya. Tiada apa yang berlaku di muka bumi tanpa pengetahuanNya. Di institusi ini aku telah dipertemukan dengan sahabat-sahabat yang memiliki hati yang murni. Sahabat-sahabat yang sentiasa membantu dan menceriakan diri ini. Ukhwah yang telah lama terjalin ini terasa begitu manis dan indah sekali. Merekalah sahabat-sahabat yang telah mengajar diri ini erti kehidupan yang sebenar. Susah dan senang dihadapi bersama. Bersama-sama mendaki ke puncak kejayaan. Walaupun adakalanya kejayaan itu tidak dimiliki namun dengan sokongan dan dorongan mereka jiwa akan menjadi sentiasa redha dengan ketentuan-Nya. Kini aku mengerti tidak semua yang kita inginkan dapat kita miliki kerana sesungguhNya perancangan Allah itu adalah yang terbaik.
Di sini juga, aku lebih menyedari hakikat diri yang sebenar. Aku lebih mengerti hakikat diri sebagai seorang hamba. Begitu banyak amanah yang telah Allah pertanggungjawabkan pada diri ini. Aku perlu menjalankan tanggungjawab ini dengan sebaiknya. Aku tidak boleh terus leka dan alpa kerana dunia ini hanya senda gurau sementara. Hidup ini hanya pinjaman semata. Maka aku perlu menggunakan segala pinjaman yang telah Allah beri ini dengan sebaiknya. Semoga aku dapat memiliki hati yang benar-benar ikhlas dalam menjalankan semua perbuatan didunia kerana-Nya.
Aku juga telah mula memasuki alam pra pekerjaan. Aku telah menjalankan praktikal sebagai seorang pendidik. Kini aku sedar begitu berat tugas untuk mendidik anak bangsa. Tugas mendidik bukan hanya pada akademik sahaja. Namun aku juga perlu menyuburkan nilai-nilai murni dalam diri setiap anak-anak kecil itu. Mereka perlu diterapkan dengan hakikat kehidupan sebenar. Ini penting agar mereka tidak tersasar jauh dari landasan kehidupan sebenar. Adakalanya terasa sangat sedih melihat murid-murid sekolah yang sangat degil dan kurang ajar. Dimanakah silapnya kerana mereka masih memerlukan dorongan dan bimbingan. Mungkin mereka memerlukan lebih perhatian dan kasih sayang. Inilah tugas besar seorang guru untuk meneroka ke dalam sudut hati murid-murid bagi mengetahui punca masalah murid tersebut. Aku hanya mampu berdoa, semoga Allah memberi hati yang cekal kepada diri ini untuk membantu mereka yang merupakan bakal-bakal pewaris agama dan ulama di masa hadapan.
Kini aku sedar, begitu banyak perkara baru yang telah aku pelajari dalam hidup ini selama 4 tahun aku merantau ke tempat baru. Aku juga sedar bahawa segala-galanya di muka bumi ini adalah milik Allah. Aku tersangat bersyukur atas segala yang telah engkau berikan. Alhamdulillah ya Allah. Terima kasih atas segalanya.




Wednesday, April 20, 2011

Jauh

Hidup terasa begitu terumbang ambing,
terasa kekosongan di jiwa ini,
masalah hati kembali menguasai diri,
di manakan silapnya,
jawapannya ada pada dirimu sendiri,
ia kerana jauhnya diri ini dari Dia Yang Satu.

sebulan yang berlalu terasa begitu sia-sia,
nikmat dunia sahaja yang dikejar selama itu,
masa disibukkan dengan urusan dunia,
hingga adakalanya terasa seperti masa yang diperuntukkan tidak cukup,
di manakah silapnya
sekali lagi lihat kembali kepada diri,
bagaimana hubunganmu dengan Pengurus Alam ini.

kini, keperitan yang ku rasai,
diri seperti tidak bermaya setelah sebulan berlalu,
terasa seperti segala yang dilakukan tiada kesempurnaannya,
sifat ikhlas sukar dimiliki,
perasaan riak menguasai diri,
segala amalan sunat semakin jauh dari diri
dimanakah silapnya,
perhatikan pada dirimu,
dimana kamu letakkan Dia selama sebulan yang lalu.

solat yang dilakukan juga menjadi seperti debu berterbangan,
khusyuk tidak dapat dirasai,
dalam solat masih terfikir kepada manusia-manusia sekeliling,
langsung tiada rasa gerun ketika beribadah kepadaNya.
di manakah silapnya,
tanyakan pada dirimu,
bagaimana dengan keyakinanmu pada Dia yang Mencipta segalanya.

perasaan gerun dalam melakukan dosa juga semakin menipis,
dengan selamba boleh melanggar perintah Allah,
tanpa segan silu meninggalkan suruhan Allah.
dengan senyuman bangga melakukan tegahanNya,
dimanakan silapnya,
renung kembali dirimu,
adakan Dia masih yang pertama dalam hatimu?

wahai diri,
muhasabahlah kembali dirimu,
dimana hilangnya iman yang telah kau bina selama ini,
jangan biarkan ia berterbangan tanpa arah,
carilah kembali dirimu,
carilah kembali cintaNya,
ingatlah diri jalan yang dilalui memang berliku,
namun kita masih ada Dia di sisi.
dia tidak pernah jauh dari dirimu,
tetapi kamu yang sering menjauhkan diri dari Dia.

Bangunlah di sepertiga malam,
mohonlah kepadanya agar diberi segala kekuatan yang diperlukan,
tingkatkan amalan sunatmu,
jangan pernah menyerah kalah,
kerana Allah sentiasa di sisi hambanya.

P/s: iman manusia memang ada turun naiknya, namun sentiasalah beristiqamah dalam beribadat kepadanya agar diri sentiasa terpelihara dari dosa.

Monday, March 14, 2011

Andai aku tiada

Andai aku tiada,
Jangan pernah kau tangisi perkara itu,
kerana kau masih ada Allah yang sentiasa menemanimu,
yang sentiasa memeliharamu.

Andai aku tiada,
ku harap kau akan dapat meneruskan hidup ini seperti sediakala,
kuharap kau akan terus terbang dalam menggapai cita-citamu,
mencari segala yang kau impikan dalam hidup ini.

Andai aku tiada,
kuharap secebis ingatanmu masih ada padaku,
ku tidak mengharapkan lebih,
hanya doa kudusmu yang ku harap darimu.

Andai aku tiada,
kau gunakanlah segala ilmu yang pernah aku berikan padamu,
segala nasihat yang pernah kita kongsi bersama,
kuharap ia dapat menerangi hidupmu.

Andai aku tiada,
kuharap kau akan terus menjadi muslimah sejati,
muslimah yang sentiasa berpegang teguh dengan ajaran islam,
yang tidak mudah menyerah kalah dengan nafsu,
yang tidak pernah gentar menyatakan kebenaran,
yang akan menjadi salah seorang kebanggaan agama.

Andai aku tiada,
ku harap kau akan meneruskan perjuangan kita selama ini,
perjuangan untuk melihat islam berada di atas,
ku harap kau akan terus bermujahadah dalam mengejar perkara itu,
teruskan perjuangan itu sahabatku.







Thursday, March 3, 2011

Kamu

Perjalanan ini terasa begitu panjang....
Adakalanya terasa ia begitu melelahkan....
Begitu banyak cerita telah ku coretkan....
Cerita indah, suka dan duka.....

Dalam melalui perjalanan ini.....
ku pasti ia hanya ada 1 tujuan...
tujuan yang sangat penting...
menuju ke negeri abadi yang tiada tandingannya....

dalam mencapai tujuan ini......
jalan yang penuh duri harus ku lalui....
ia terasa begitu sukar dan berliku.....
ibarat berada di celahan kaca....

Namun...
aku bersyukur.....
aku ditemukan dengan kamu.....

kamu,yang sering membantuku....
di dalam susah dan senang.....
kamu,tempatku berkongsi suka dan duka....
kamu, penghibur disaat diri kesunyian...

kamu, tempatku mencurahkan segalanya....
kamu doktor yang merawatku disaat diri kesakitan....
kamu, penasihat terbaik di saat diri bermasalah.....
kamu, penenang hati di saat diri kecewa...

kamu, penghapus setiap air mataku....
kamu yang membawa ku kembali dikala ku mula hilang arah...
kamu yang meniupkan semangat saat diri ini hilang harapan....
kamu adalah permata bernilai dalam hidupku....

kamu, kamu dan kamu....
tiada tandingan setiap dari kamu....
kamu adalah sahabat-sahabatku
sahabat yang kutemui dalam pengembaraan ini.....

setiap dari kamu....
sangat tinggi nilainya....
cintaku pada kamu tidak dapat kuungkapkan
namun yang pasti kamu adalah segalanya sahabat....

aku bersyukur atas kurniaanMu ya Allah....
tiada harga dapat ku bayar atas ukhwah ini....
moga ia berkekalan hingga ke syurga....
~sahabat, sayang kamu semua kerana Allah....~