Saturday, July 16, 2011

~Indah~

Kini genap 4 tahun, diri ini berada di sebuah institusi pengajian tinggi. Bila difkirkan kembali begitu cepat masa berlalu. Betapa berharganya setiap detik waktu yang telah berlalu itu. Namun masa yang telah pergi tidak mungkin akan dapat diputar lagi. Aku tetap bersyukur padaMu tuhan, begitu banyak nikmat yang telah Engkau kurniakan kepada diriku ini sehingga detik waktu ini.
Begitu banyak cerita manis dan pahit telah dicoretkan selama 4 tahun ini. Begitu banyak perubahan yang telah berlaku. Ini semua dengan izin-Nya. Tiada apa yang berlaku di muka bumi tanpa pengetahuanNya. Di institusi ini aku telah dipertemukan dengan sahabat-sahabat yang memiliki hati yang murni. Sahabat-sahabat yang sentiasa membantu dan menceriakan diri ini. Ukhwah yang telah lama terjalin ini terasa begitu manis dan indah sekali. Merekalah sahabat-sahabat yang telah mengajar diri ini erti kehidupan yang sebenar. Susah dan senang dihadapi bersama. Bersama-sama mendaki ke puncak kejayaan. Walaupun adakalanya kejayaan itu tidak dimiliki namun dengan sokongan dan dorongan mereka jiwa akan menjadi sentiasa redha dengan ketentuan-Nya. Kini aku mengerti tidak semua yang kita inginkan dapat kita miliki kerana sesungguhNya perancangan Allah itu adalah yang terbaik.
Di sini juga, aku lebih menyedari hakikat diri yang sebenar. Aku lebih mengerti hakikat diri sebagai seorang hamba. Begitu banyak amanah yang telah Allah pertanggungjawabkan pada diri ini. Aku perlu menjalankan tanggungjawab ini dengan sebaiknya. Aku tidak boleh terus leka dan alpa kerana dunia ini hanya senda gurau sementara. Hidup ini hanya pinjaman semata. Maka aku perlu menggunakan segala pinjaman yang telah Allah beri ini dengan sebaiknya. Semoga aku dapat memiliki hati yang benar-benar ikhlas dalam menjalankan semua perbuatan didunia kerana-Nya.
Aku juga telah mula memasuki alam pra pekerjaan. Aku telah menjalankan praktikal sebagai seorang pendidik. Kini aku sedar begitu berat tugas untuk mendidik anak bangsa. Tugas mendidik bukan hanya pada akademik sahaja. Namun aku juga perlu menyuburkan nilai-nilai murni dalam diri setiap anak-anak kecil itu. Mereka perlu diterapkan dengan hakikat kehidupan sebenar. Ini penting agar mereka tidak tersasar jauh dari landasan kehidupan sebenar. Adakalanya terasa sangat sedih melihat murid-murid sekolah yang sangat degil dan kurang ajar. Dimanakah silapnya kerana mereka masih memerlukan dorongan dan bimbingan. Mungkin mereka memerlukan lebih perhatian dan kasih sayang. Inilah tugas besar seorang guru untuk meneroka ke dalam sudut hati murid-murid bagi mengetahui punca masalah murid tersebut. Aku hanya mampu berdoa, semoga Allah memberi hati yang cekal kepada diri ini untuk membantu mereka yang merupakan bakal-bakal pewaris agama dan ulama di masa hadapan.
Kini aku sedar, begitu banyak perkara baru yang telah aku pelajari dalam hidup ini selama 4 tahun aku merantau ke tempat baru. Aku juga sedar bahawa segala-galanya di muka bumi ini adalah milik Allah. Aku tersangat bersyukur atas segala yang telah engkau berikan. Alhamdulillah ya Allah. Terima kasih atas segalanya.