Wednesday, January 27, 2010

anak bangsaku

Di dada-dada akhbar kini masalah sosial dikalangan remaja semakin berleluasa. Aku sendiri jadi bingung melihat keadaan yang melanda negaraku ini. Geneasi akan datang yang bakal memimpin negaraku dan agamaku semakin sukar untuk dicari. Apakah sebenarnya punca-punca kejadian ini. Telah sering kali diperdebatkan namun tiada jalan penyelesaian yang dapat kita temukan.
Keadaan ini juga tidak membolehkan kita untuk duduk diam membiarkan ia berlaku begitu sahaja. Kepelbagaiannya semakin sehari seakan memaksa kita untuk lebih bertegas berdepan dengannya. Adakalanya perubahan sosial yang berlaku ini menjadikan kita lebih peka terhadap peranan dan tanggungjawab yang patut kita tunaikan.
Setiap individu masyarakat memainkan peranan untuk membantu namun pada hari ini semua orang seperti sudah lupa konsep masyarakat. Masing-masing menguruskan hal masing-masing.
Meskipun skala fenomena sosial yang kita timbulkan mungkin masih berada satu tahap keterlanjuran, namun jika ia tidak dibendung dengan berkesan, ia mungkin berubah menjadi kebiasaan yang akan mengheret kita kepada cara kehidupan sosial yang tidak sihat. Oleh hal yang demikian itu setiap anggota masyarakat termasuk remaja sendiri perlu memainkan peranan dalam membentuk cara dan corak pergaulan yang baik dan cemerlang, berteraskan ajaran agama yang kukuh.

Remaja atau belia yang ingin mengekalkan pergaulan terpuji di kalangan rakan-rakan mereka mestilah mempunyai dan mengamalkan sifat-sifat yang juga terpuji seperti berakhlak mulia, beradab ketika berbicara, sering memberi salam, jujur, memelihara amanat, sabar, toleransi dan seumpamanya hingga kepada azam menanam rasa memuliakan teman atau rakan yang baik pada isetiap pertemuan. Pergaulan juga harus dijaga daripada perkataan yang sia-sia, kotor dan perkara-perkara yang merupakan ‘kerugian’ bagi setiap individu Muslim.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Bukanlah seorang Mukmin yang sempurna, yang suka mencela dan melaknati, berperangai jahat dan berakhlak rendah."

Bagi remaja yang sudah terpesong hendaklah kita sedar bahawa kitaa sepatutnya mengamalkan nilai-nilai murni yang baik dalam pergaulan serta mencari arah dan tujuan hidup yang asal serta mencipta kebaikan dan kecemerlangan diri. Tidak bererti keterlanjuran diri yang telah berlalu merupakan sempadan yang tidak dapat diubah ke arah yang lebih baik dan sempurna. Justeru, pergaulan yang dicari ialah pergaulan yang baik, beretika, dan sentiasa ingat kepada ajaran-ajaran beragama serta menghala tuju ke arah kualiti hidup yang berguna. Lihatlah kepada resmi ikan, meskipun berenang di lautan masin, namun ikannya tetap tawar dan sedap dimakan.

sama-samalah kita saling nasihat menasihati agar perkara-perkara yang tidak sepatutnya berlaku di negara kita. Teringat saya kepada satu firman Allah yang menyebut setiap bala bencana yang berlaku itu pasti disebabkan kejahilan manusia itu sendiri. Beringatlah wahai manusia. Muhasabah diri kita ini.

No comments:

Post a Comment